Tatabahasa Dan 4 kesalahan kata Sendi dan Kata Ganti



PENGENALAN

Dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu yang terkini, aspek bahasa yang indah telah dijadikan fokus dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Murid-murid perlu menguasai tiga bidang iaitu bidang interpersonal, maklumat dan estetika. Dalam bidang estetika yang menitikberatkan aspek keindahan bahasa, tumpuannya adalah untuk membimbing pelajar bukan sahaja baik dari segi pengolahan bahasa, malah baik dari segi tatabahasanya. Dalam pembelajaran bidang tatabahasa murid akan mengkaji cara-cara perkataan itu terbentuk dan bagaimana perkataan itu bercantum membentuk frasa dan ayat.
Walau bagaimanapun, seseorang itu tidak terlepas dari membuat kesalahan tatabahasa. Apakah sebenarnya konsep tatabahasa ? Apakah kesalahan-kesalahan tatabahasa yang selalu di lakukan oleh murid-murid?


2.1     KONSEP TATABAHASA

Tatabahasa dapat didefinisikan sebagai bidang yang menumpukan perhatian terhadap pembentukan kata dan proses pembinaan ayat sesuatu bahasa. Bahasa terdiri daripada kumpulan ayat yang tidak terbilang jumlahnya. Ayat pula terdiri daripada rentetan perkataan yang bermakna. Perkataan dibina oleh gabungan bunyi-bunyi dalam sesuatu bahasa yang mempunyai makna, digabungkan menjadi suku kata dan perkataan.

Bidang tatabahasa mengkaji cara-cara perkataan itu terbentuk dan selanjutnya bagaimana proses perkataan itu bercantum membentuk frasa dan ayat. Secara umumnya, perkara yang akan dikaji tentang bidang tatabahasa adalah yang berkaitan dengan morfologi dan sintaksis.  Bidang-bidang pada peringkat cara perkataan dibentuk dikenali sebagai morfologi manakala peringkat cara perkataan itu disusun membina ayat dikenali sebagai sintaksis.



9
 
 
2.1.1  Morfologi

Boleh dikatakan ramai di antara kita yang belum memahami konsep morfologi  sedangkan tanpa disedari ilmu ini sentiasa digunakan semasa bertutur, menulis, membaca atau untuk menyatakan perasaan kita. Sebelum kita memahami bidang-bidang dalam morfologi, mari kita fahami beberapa definisi yang telah diberikan oleh beberapa tokoh bahasa mengenai morfologi.

i.        Asmah Hj Omar (1993), menyatakan morfologi sebagai peninjauan linguistik yang menitikberatkan hubungan antara morfem-morfem dan varian morfem.
ii.       Abdullah Hassan (2005), mentakrifkan morfologi sebagai bidang linguistik yang mengkaji bagaimana perkataan dibina. Kajian ini dilakukan terhadap unsur-unsur yang membentuk perkataan, proses-proses membentuk perkataan dan bentuk-bentuk perkataan yang dihasilkan.
iii.      Nik Safiah Karim et al. (2008), menjelaskan morfologi sebagai bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolongan kata.

Berdasarkan pendapat tokoh-tokoh di atas, morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji tentang pembentukan kata. Pembentukan kata terdiri daripada morfem, jenis morfem, struktur kata, penggolongan kata dan bentuk kata.

(a)     Morfem
          Morfem ialah unit tatabahasa terkecil yang berfungsi secara gramtis dan menjalankan tugas nahu. Sekiranya kata tidak boleh dipecahkan kepada unit bermakna atau nahu yang lebih kecil, maka kata-kata ini terdiri daripada satu unit atau satu morfem.
          Contohnya :
          [ beri ] –   “beri” satu morfem terkecil yang bermakna. Jika “beri” kita pecahkan kepada “be” dan “ri” tidak akan berfungsi dan memberi makna.  Sebaliknya, kata "memberi" boleh dipecahkan kepada dua morfem, iaitu "mem" dan "beri".
          Kesimpulannya, Perkataan boleh terbentuk daripada satu morfem atau lebih morfem.




10
 
 
(b)     Jenis Morfem
          Morfem terdiri daripada dua jenis iaitu morfem bebas dan morfem terikat. Morfem bebas ialah kata yang dapat berdiri dengan sendiri seperti perkataan ‘suka’, ‘pakaian’, ‘komuter’ dan seumpamanya. Morfem terikat pula ialah kata yang tidak dapat berdiri dengan sendiri. Contoh morfem terikat ialah imbuhan.

(c)     Struktur Kata
          Struktur kata bagi kata tunggal bahasa Melayu boleh mengandungi satu suku kata atau lebih daripada satu suku kata. struktur kata ialah susunan bunyi ujaran atau tulisan yang menjadi unit bahasa yang bermakna.

          Contoh :
                    Memainkan” struktur betul
                   kanmainmestruktur salah

          Berdasarkan contoh di atas, kata memainkan adalah bunyi ujaran yang berada dalam susunan atau struktur yang betul. Manakala, ejaan kanmainme merupakan struktur yang salah dan  tidak bermakna.

(d)     Penggolongan Kata
          Penggolongan kata ialah proses menjeniskan perkataan dalam sesuatu bahasa berasaskan keserupaan bentuk dan fungsi tatabahasa lain dalam kelompok atau  golongan yang tertentu. Kata dapat digolongkan kepada empat golongan iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas.
          i.     Kata nama ialah perkataan yang boleh menjadi unsur inti pada binaan frasa nama dan lazimnya kata ini menamakan orang, tempat atau benda. Kata nama dapat dipecahkan kepada tiga subgolongan, iaitu kata nama am, kata nama khas dan kata ganti nama. Contohnya bunga, Aminah, sekolah, saya
          ii.    Kata kerja ialah kata yang menyatakan makna perbuatan atau perlakuan. Kata kerja menjadi inti bagi binaan frasa kerja. Contohnya mengajar, main, bersalam
11
 
          iii.   Kata adjektif juga dikenal sebagai kata sifat yang menerangkan sifat atau keadaan sesuatu benda atau kata nama. Kata adjektif boleh didahului atau diikuti oleh kata penguat. Contohnya sayang, suka, benci.
          iv. Kata tugas ialah perkataan yang hadir dalam ayat, klausa, atau frasa untuk mendukung sesuatu tugas, sama ada sebagai penghubung, penerang, penguat, penentu, pendepan, penafi, pembenar, pemeri atau tugas-tugas lain. Contohnya  tidak, pernah, minta, lah

(e)     Bentuk Kata
          Bentuk kata pula ialah sesuatu unit tatabahasa yang terdiri daripada kata tunggal, kata terbitan, kata majmuk dan kata ganda.

                 Contoh :   Kata tunggal - lancar
                                 Kata terbitan - pelancaran  
                                 Kata majmuk - papan tanda
                                 Kata ganda - buku-buku

 2.1.2  Sintaksis

Secara umumnya, sintaksis merupakan satu cabang ilmu bahasa yang bermaksud kajian tentang pembentukan ayat. Sintaksis bukan sahaja mengkaji proses pembinaan ayat tetapi juga hukum-hukum yang menentukan bagaimana perkataan disusun dalam ayat. Sintaksis  merangkumi  hukum-hukum seperti frasa, klausa, pola ayat, jenis ayat, bentuk ayat, ragam ayat dan proses penerbitan ayat.

(a)          Frasa
Frasa ialah unit yang boleh terdiri daripada satu susunan yang mengandungi sekurang-kurangnya dua perkataan, ataupun satu perkataan yang berpotensi untuk diperluas menjadi dua perkataan atau lebih. Binaan frasa tidak mengandungi subjek dan predikat. Dalam susunan tatabahasa, frasa boleh menjadi konstituen kepada klausa ataupun konstituen frasa itu sendiri.
(b)          Klausa
12
 
Klausa ialah satu unit rangkaian perkataan yang mengandungi subjek dan predikat yang menjadi konstituen kepada ayat. Klausa terdiri daripada klausa bebas dan klausa tak bebas.
(c)           Pola Ayat
          Pola ayat ialah gabungan frasa-frasa Bahasa Melayu seperti frasa nama (FN), frasa kerja (FK), frasa adjektif (FA) dan frasa sendi nama (FS) dan membentuk ayat yang mempunyai konstituan subjek dan predikat Terdapat empat jenis pola dalam Bahasa Melayu seperti yang yang ditunjukkan di bawah.

Jenis Pola
Subjek
Predikat
FN + FN
Ahmad
ejen insuran
FN + FK
Dia
menjerit kesakitan
FN + FA
Murid itu
sangat rajin
FN + FS
Sekolah saya
di Kota Kinabalu


(d)          Jenis Ayat
          Terdapat empat jenis ayat dalam Bahasa Melayu iaitu
i.               Ayat  penyata  diucapkan  dengan  maksud membuat satu pernyataan yang mempunyai tujuan menyatakan atau memberi keterangan tentang sesuatu hal.
ii.             Ayat  tanya  digunakan  untuk  menanyakan sesuatu hal dengan berdasarkan nada suara dan penggunaan perkataan tertentu dan boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu ayat tanya tanpa kata tanya dan ayat tanya dengan kata tanya.
iii.           Ayat  perintah diucapkan  dengan  tujuan untuk menimbulkan sesuatu tindakan. Perintah ditujukan kepada orang kedua dengan menggunakan kata ganti nama orang kedua seperti ‘awak’, ‘kamu’, ‘engkau’ dan sebagainya yang digugurkan.
iv.           Ayat seruan diucapkan dengan membawa intonasi seruan untuk tujuan melahirkan sesuatu keadaan perasaan seperti takut, marah, takjub, sakit dan sebagainya. Intonasi seruan digambarkan dalam tulisan dengan tanda seru ( ! ) yang biasanya terletak pada akhir ayat, sama ada ayat itu didahului kata seru atau tidak.   Kata seru yang sering digunakan ialah ‘oh’, ‘amboi’, ‘wah’, ‘cis’,  ‘aduh’ dan sebagainya.
13
 
 
(e)           Bentuk Ayat
          Terdapat dua jenis ayat dalam Bahasa Melayu, iaitu ayat tunggal dan ayat majmuk.

(f)           Ragam Ayat
          Terdapat dua ragam ayat dalam Bahasa Melayu, iaitu ayat aktif dan ayat pasif.

(g)          Proses Penerbitan Ayat
          Penerbitan ayat bermaksud hasil suatu proses gramatis iaitu melibatkan pelaksanaan rumus transformasi yang berfungsi mengubah struktur ayat serta memperluas sesuatu unsur dalam ayat ataupun frasa. Penerbitan ayat dapat melakukan proses transformasi yang mengakibatkan pengguguran, penyusunan semula atau peluasan kepada unsur-unsur struktur dalaman.


2.2     KESALAHAN PENGGUNAAN TATABAHASA

Bahasa itu indah jika inti-intinya diulah dengan baik dan teratur. Akan tetapi setiap bahasa mempunyai jerat atau perangkap terselindung yang menyebabkan penulis baru mahupun penulis professional melakukan kesilapan tatabahasa. Dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah, kesalahan tatabahasa adalah perkara yang biasa berlaku dan sering dilihat terutama dalam penulisan. Kesalahan ini bukan sahaja berlaku kepada murid-murid, malahan guru-guru pun sering kali keliru dalam beberapa perkara yang melibatkan tatabahasa. Terdapat banyak kesalahan tatabahasa yang berlaku dan di sini saya cuba analisis empat  kesalahan yang sering kali berlaku di sekolah iaitu :

·                Kesalahan ejaan
·                Kesalahan kata sendi nama
·                Kesalahan Kata Ganti Diri
·                Kesalahan Kata Bilangan




14
 
 


2.2.1  Kesalahan Ejaan

Kesalahan ejaan adalah kesalahan yang sering berlaku secara sengaja ataupun tidak sengaja. Masih ramai pelajar termasuk guru Bahasa Melayu tidak pasti ejaan beberapa perkataan Bahasa Melayu. Contohnya :

Perkataan Yang Tak Pasti/Keliru
Perkataan Sebenar
aturcara atau atur cara
atur cara
ransangan atau rangsangan
rangsangan
ugama atau agama
agama
merbahaya atau berbahaya
berbahaya - tiada imbuhan mer
set induksi atau induksi set
induksi set
manafaat,munafaat atau manfaat
manfaat

Perkataan di atas merupakan perkataan yang selalu kita guna pakai dalam penulisan bahkan dalam pertuturan seharian.


2.2.2  Kesalahan Kata Sendi Nama

Dalam penggunaan kata sendi nama, kesalahan yang sering berlaku ialah tidak dapat membezakan antara kata sendi nama dari dan daripada; di dan pada; ke dan kepada. Contohnya :
Kupon letak kereta ada dijual disini. Sila pamerkan kupon anda bagi mengelakkan dari didenda.

15
 
Dari ayat di atas, kesalahan yang ketara adalah pada kata “disini’ dan penggunaan kata “dari” adalah  perangkap terselindung menjadi kekeliruan dan kesalahan pada murid. Penggunaan kata “di” mestilah sesuai dengan keadaan adakah perlu ditulis serangkai atau ditulis terpisah. Kata “di” perlu ditulis terpisah jika berfungsi sbg kata sendi nama merujuk kpd tempat atau arah.
Maksudnya, kata “disini” hendaklah ditulis “di sini” di mana kata “sini” menunjukkan arah atau tempat, maka imbuhan “di” dipisahkan daripada kata “sini”.    Kata “dari” digunakan untuk merujuk kepada tempat dan masa. Kata “daripada” digunakan pada yang lain-lain seperti orang, perbandingan, asal kejadian, benda abstrak, dan untuk menunjukkan keanggotaan. Oleh itu, mengikut rumus tatabahasa tadi, ayat yang betul bagi contoh ayat di atas ialah :

Kupon letak kereta ada dijual di sini. Sila pamerkan kupon anda bagi mengelakkan daripada didenda.


2.2.3  Kesalahan Kata Ganti Diri

i.        Kata beliau, dia, ia, kami, kita, dan mereka sering digunakan dengan salah. Kata beliau tidak harus digunakan untuk orang yang tidak dihormati atau kanak-kanak dan binatang. Contohnya :
·                Firdaus dihukum. Beliau ponteng sekolah. ( salah )
·                Firdaus dihukum. Dia ponteng sekolah. ( betul )
ii.       Kata dia dan ia tidak boleh digunakan untuk binatang dan benda. Contohnya :
·              Baju ini mahal. Ia diimport dari Itali. ( salah )
·              Baju ini mahal. Baju ini diimport dari Itali. ( betul )
iii.      Kata kami bererti “saya dengan dia”. Orang yang diajak bercakap tidak disertakan. Kita bererti “anda dengan saya” atau “anda dengan kami”. Orang yang diajak bercakap disertakan. Contohnya :
·                Kami mesti memenangi perlawanan ini,” kata Anas kepada Nazrul. ( salah )
·                Kita mesti memenangi perlawanan ini,” kata Anas kepada Nazrul. ( betul )
iv.      Kata mereka tidak boleh digunakan untuk benda dan binatang.
·                Ayam-ayam itu dikurung. Mereka akan disembelih. ( salah )
·                Ayam-ayam itu dikurung. Ayam-ayam itu akan disembelih. ( betul )
v.       Kata mereka tidak boleh diulang.
  • Mereka-mereka yang ditawan berada dalam keadaan selamat. ( salah )
  • Mereka yang ditawan berada dalam keadaan selamat. ( betul )


16
 
 
2.2.4  Kesalahan Kata Bilangan

Terdapat 6 jenis kata bilangan:
·                Kata bilangan tentu seperti satu, seratus, sejuta dan sebagainya.
·                Kata bilangan tak tentu seperti beberapa, para, semua, setengah-setengah, dan sebagainya.
·                Kata bilangan pecahan seperti setengah, suku, dan sebagainya.
·                Kata bilangan pisahan seperti masing-masing, dan setiap.
·                Kata bilangan himpunan seperti berbagai-bagai, kedua-dua, dan sebagainya.
·                Kata bilangan tingkat seperti pertama, kedua, keenam dan sebagainya.

i.        Kata bilangan seperti setengah-setengah, tiap-tiap, berbagai-bagai dan kedua-dua tidak boleh disingkatkan. Contohnya :

Salah
Betul
a. setengah orang
setengah-setengah orang
b. tiap murid
tiap-tiap murid
c. berbagai warna
berbagai-bagai warna
d. kedua mempelai
kedua-dua mempelai

ii.       Kata para tidak boleh diulang. Contohnya :
·                Para-para penduduk perlu bekerjasama. ( salah )
·                Para penduduk perlu bekerjasama. ( betul )

iii.      Kata bilangan tentu seperti satu, dua, tiga dan seterusnya tidak boleh didekatkan dengan kata bilangan pecahan seperti suku dan setengah untuk penghitungan. Contohnya ;

Salah
Betul
dua setengah meter
dua meter setengah
dua suku jam
dua jam suku







17
 



 


 RUMUSAN

Tatabahasa merupakan bidang kemahiran yang perlu dikuasai murid dalam aspek estetika system bahasa. Tatabahasa dalam bahasa Melayu merangkumi dua bidang iaitu morfologi dan sintaksis. Morfologi merupakan kajian tentang pembentukan kata yang merangkumi morfem, jenis morfem, struktur kata, penggolongan kata dan bentuk kata. Manakala, sintaksis merupakan kajian tentang pembinaan ayat yang merangkumi unsur-unsur seperti frasa, kluasa, pola ayat, jenis ayat, bentuk ayat, ragam ayat dan proses penerbitan ayat. Walaupun bahasa Melayu itu mudah difahami dan dibaca masa terdapat juga kesalahan-kesalahan yang sering berlaku secara sengaja atau tidak sengaja oleh murid mahupun guru. Oleh itu, guru perlu peka terhadap kesalahan yang berlaku dan perlu mencari penyelesaian yang kreatif dan inovasi bagi mencapai matlamat kurikulum bahasa Melayu seterusnya melahirkan pelajar yang harmonis dan seimbang menjelang wawasan 2020.

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum cikgu...
    Pengajarann Tatabahasa yang disampaikan boleh dijadikan rujukan dan perkongsian ilmu.
    Tahniah sekali lagi cikgu...

    BalasPadam