Bahasa Melayu Bahasa Penghantar



PENGENALAN
 
Sistem persekolahan merupakan saluran yang penting bagi menyampaikan wadah perjuangan negara dan menyerapkan nilai-nilai murni dalam masyarakat berbilang kaum demi mencapai perpaduan antara kaum. Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk yang terdiri daripada tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India sejak sebelum merdeka lagi. Bagi menyatukan masyarakat berbilang kaum ini, satu sistem pendidikan yang bercorak kebangsaan telah diwujudkan antaranya Laporan Razak (1956), yang menyatakan bahawa tujuan akhir dasar pendidikan negara ini adalah untuk menyatukan murid yang berlainan bangsa di bawah satu sistem pendidikan kebangsaan dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar. Dengan ini, jelas bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di sekolah mempunyai fungsi tertentu serta berkepentingan dalam sistem pendidikan kebangsaan.   

 1.1     FUNGSI BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA PENGANTAR

Kita tahu bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan  bahasa rasmi negara yang telah termaktub dalam Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Penggunaan satu bahasa perhubungan dan persefahaman di antara satu kaum dengan yang lain dapat diwujudkan tanpa menimbulkan rasa curiga. Bahkah dalam sejarah zaman kegemilangan zaman Kesultanan Melayu Melaka, bahasa Melayu dituturkan oleh semua pedagang dari Arab, China, India dan Eropah. Ketika itu, bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa perpaduan dan bahasa komunikasi antarabangsa. Kini, dalam dasar pendidikan kebangsaan, Bahasa Melayu telah dijadikan sebagai bahasa pengantar yang utama di peringkat sekolah mahupun di peringkat pengajian. Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di sekolah mempunyai fungsi kebaikan kepada murid-murid.

 1.1.1  Memudahkan pemahaman Murid dalam semua subjek

Kemantapan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar bagi semua mata pelajaran telah bermula sejak tahun 1970an lagi. Sebagai seorang pendidik, guru merupakan agen penyampai maklumat dan penyebar ilmu kepada murid-murid perlu menggunakan laras bahasa dan gaya bahasa yang betul di bilik darjah  supaya murid-murid mendapat informasi yang betul tentang sesuatu  topik yang disampaikan. Erti kata lain, dengan menggunakan laras bahasa yang betul ketika bercakap dengan murid akan memudahkan pemahaman murid terutama ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas terutama kepada mata pelajaran yang kritikal seperti Matematik dan Sains. 
Ini telah ditegaskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sesi dialog bersama mahasiswa di Kuala Lumpur. Menurut beliau, pelaksanaan Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dalam tempoh enam tahun menunjukkan kesan negatif apabila sebahagian besar rakyat tidak memahami bahasa selain bahasa ibundanya. Malah adalah penting untuk memberikan pendidikan di peringkat awal kepada kanak-kanak menggunakan bahasa yang mereka mudah fahami.  

( Utusan Melayu : 30 September, 2011 )


Jelas bahawa kesan negatif yang di maksudkan beliau berlaku disebabkan oleh kurang faham rakyat (guru dan murid) dengan bahasa yang digunakan (Bahasa Inggeris) dalam P & P dua subjek ini. Oleh itu, dengan menggunakan bahasa ibunda iaitu bahasa Melayu dalam menyampaikan pendidikan diperingkat sekolah rendah akan memudahkan murid-murid faham. Jesteru, dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar berfungsi bagi memudahkan komunikasi guru dan murid dalam memahami semua maklumat yang diberikan.

 

1.1.2 Keindahan bahasa ( Bidang Estetika )

Dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu, aspek keindahan bahasa menjadi fokus dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. Keindahan bahasa adalah antara bidang estetika yang perlu dikuasai oleh pelajar. Dengan mengunakan bahasa penghantar dengan bahasa yang indah semasa bertutur  selain sedap didengar  bahkan dapat menarik minat murid untuk belajar. Bahasa Melayu memiliki peribadi yang istimewa selain terkenal dengan ciri-ciri ketimuran, seperti lemah lembut, beradab, dan berbudi bahasa. Oleh sebab itu, bangsa Malaysia harus menggunakan bahasa Melayu yang baku dan yang mempunyai nilai estetika dan nilai kesantunan. Sementara, dalam budaya Melayu kesantunan berbahasa menunjukkan kejernihan fikiran, ketinggian akhlak dan akal budi. Menguasai sesuatu bahasa juga bererti menguasai segala santun dan peraturan yang dipersetujui dalam menggunakan bahasa tersebut.

1.1.3  Menjalinkan Perpaduan Dan Rasa Muhibah Masyarakat Majmuk

Seperti yang telah dinyata dalam Laporan Razak (1956) di awal pengenalan tadi, agenda kerajaan jelas kepada penggunaan satu bahasa penghantar dalam masyarakat majmuk bagi menyatukan kanak-kanak demi perpaduan Negara. Ianya perlu dipupuk bermula di peringkat persekolahan agar tidak timbul masalah perkauman. Di sini menjelaskan bahawa perpaduan negara dan nilai perpaduan menjadi teras menjamin kesejahteraan dan kepentingan masyarakat Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum. Aspirasi ini telah digariskan dalam penggubalan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Dalam sistem pendidikan ini telah memberi kelebihan dan penekanan kepada penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama yang dapat menjalin perpaduan dan rasa muhibah di antara masyakarat melayu dengan masyarakat lain. Menurut Dr. Mashudi Bahari, penggunaan Bahasa Kebangsaan itu perlu diperluaskan di luar lingkungan pendidikan mencakupi semua urusan sama ada rasmi dan tidak rasmi tanpa kompromi.  Ini dapat menambahkan keyakinan bahawa potensi bahasa Melayu  berfungsi sebagai bahasa yang dapat menyatupadukan rakyat melalui penggunaannya sebagai bahasa penghantar bemula dari peringkat sekolah.
  
1.2 KEPENTINGAN BAHASA MELAYU DALAM SISITEM PENDIDIDKAN KEBANGSAAN

Seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahasaMelayu  telah dimartabatkan sebagai Bahasa Kebangsaan dan asas pembinaan negara. Perkara  ini  juga, telah mengiktiraf dan mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Semestinya sebagai warga Malaysia yang telah mencapai lebih daripada lima dekad   merdeka, harus merasa bangga kerana memiliki bahasa kita sendiri sebagai identiti jati diri yang unggul sejajar dengan tuntutan Wawasan 2020.
Kebanyakkan Negara didunia berusaha keras untuk memartabatkan bahasa kebangsaan mereka masing-masing sebagai bahasa ilmu. Oleh yang demikian, peranan dan kepentingan bahasa Melayu  tidak boleh dipandang ringan oleh warga Malaysia jika mahu melihat negara kita maju seiring dengan negara lain khususnya dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di persada antarabangsa

1.2.1  Bahasa Sebagai Wadah Perpaduan Pembina Bangsa Malaysia

Sama seperti fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di sekolah adalah demi perpaduan seperti yang dinyatakan dalam Laporan Razak (1956). Dalam konteks pendidikan kebangsaan Penyata Razak dijadikan sebagai asas Ordinan Pelajaran 1957. Oleh itu, kepentingannya masih sama iaitu bahasa dan pendidikan dapat digunakan sebagai wadah atau alat untuk meningkatkan persefahaman perpaduan kebangsaan antara penduduk yang berbilang kaum. Perpaduan adalah tunggak penting dalam masyarakat yang berbilang bangsa. Tanpa perpaduan negara akan kucar kacir dan musnahlah sebuah negara berdaulat. Seperti yang kita maklum, Malaysia terdapat tiga kaum utama iaitu kaum Melayu, Cina dan India. Kaum Melayu merupakan penduduk asal Malaysia dan mempunyai penduduk yang melebihi lima puluh peratus daripada keseluruhan warganegara di sini. Oleh sebab itulah, bahasa Melayu telah dipilih berdasarkan kaum majoriti penduduk.
Selaras dengan itu, mewujudkan satu bangsa yang bersatu padu daripada pelbagai keturunan, agama, kebudayaan dan wilayah dengan satu bahasa kebangsaan amatlah diperlukan. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah satu pilihan bijak dan mampu serta terbukti menjadi wadah perpaduan. Oleh itu jelaslah bahawa bahasa kebangsaan sebagai bahasa sepunya ini merupakan satu unsur utama dalam pembinaan negara bangsa Malaysia.
1.2.2  Bahasa Sebagai Pengantar Ilmu Pengetahuan
Budaya Ilmu Bahasa Melayu memainkan peranan sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan. Berpandukan kepada Laporan Razak (1956 ), satu syor telah melaksanakan oleh Jawatankuasa Penyemak Rahman Talib yang seterusnya menghasilkan Laporan Rahman Talib (1961). Laporan ini bertujuan untuk memungkinkan bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu diberi tempat sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan agar dapat berkembang menjadi bahasa yang moden dan mampu menjadi asas pembinaan negara bangsa yang maju dan berdaulat. Berdasarkan peruntukan tersebut, bahasa Melayu memiliki hak dan martabatnya dalam perlembagaan sementara bahasa-bahasa bagi kaum lain juga dipelihara dan tidak dinafikan haknya. Bahasa Melayu kemudiannya memikul tugas sebagai bahasa rasmi negara, bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan awam dan sebagai bahasa pengantar di sekolah dan institusi pengajian tinggi serta menjadi bahasa ilmiah (Nik Safiah Karim 1986: 1)

1.2.3  Bahasa Dalam Pelbagai Perisian Dan Kesopanan Berbahasa.

Bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa kebangsaan yang mencerminkan penggunaannya dalam pelbagai perisian dan kesopan. Tingkat ilmu dan tingkat keperisian itu dapat diukur melalui laras bahasanya manakala nilai estetika melalui keindahan bahasa ini menjadi pengukur kesopannya. Bahasa Melayu memiliki peribadi yang istimewa selain terkenal dengan ciri-ciri ketimuran, seperti lemah lembut, beradab, dan berbudi bahasa. Oleh sebab itu, bangsa Malaysia harus menggunakan bahasa Melayu baku dan yang mempunyai nilai estetika dan nilai kesopanan.
Bahasa yang berperanan sebagai bahasa kebangsaan tidak perlu rasa terpinggir dalam perkembangan dari segi penggunaan teknologi maklumat. Ini kerana dalam perkembangan kurikulum di Malaysia telah berusaha ke arah melahirkan warganegara globalisasi, selaras dengan perkembangan jaringan informasi. Sementara, dalam budaya Melayu kesopanan berbahasa menunjukkan kejernihan fikiran, ketinggian akhlak dan akal budi bangsa Malaysia. Menguasai sesuatu bahasa juga bererti menguasai segala keperibadian dan peraturan yang dipersetujui dalam penggunaan bahasa tersebut.
 

RUMUSAN

Bahasa Melayu adalah bahasa ilmu perlu dimanfaatkan untuk mengembleng usaha mengangkat kembali martabat bahasa Melayu. Pelbagai langkah dilaksanakan untuk memartabatkan bahasa Melayu ke arah zaman kegemilangannya. Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di sekolah seperti yang dinyatakan dalam Laporan Razak 1956 berhasrat untuk meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar ilmu di institusi pendidikan. Bahasa Melayu sekali gus diharap dapat memainkan peranan tersirat sebagai bahasa pemupuk perpaduan dan lambang jati diri masyarakat Malaysia yang merdeka. Laporan ini juga bertujuan untuk memungkinkan bahasa Melayu dapat digunakan sepenuhnya sebagai bahasa rasmi Negara dan penggunaannya dapat berkembang menjadi bahasa yang moden dan mampu menjadi asas pembinaan negara bangsa yang maju dan berdaulat.


1 ulasan:

  1. Salam,
    Satu ruangan yang bermanfaat dan membina minda murid-murid. Tahniah...

    BalasPadam